Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

31 July 2011

Lapan Punca Rumahtangga Bergolak

Sangat menyedihkan apabila dalam sesebuah perkahwinan, pasangan suami isteri gagal untuk mempertahankan hubungan perkahwinan mereka. Apabila perkara seperti ini berlaku dalam hubungan rumahtangga dan tidak diselesaikan secara berhikmah, ia tidak mustahil mengakibatkan penceraian.
Oleh itu, untuk mengelakkannya daripada menjadi lebih parah, pasangan terbabit perlulah mengenalpasti apakah punca yang menyebabkan masalah-masalah timbul dalam hubungan mereka. Apabila punca pertelingkahan atau ketidaksefahaman dikenalpasti, pasangan tersebut akan lebih mudah untuk mengatasi masalah yang timbul. 
(1) Kritikan yang melampau - Pada kebiasaannya, pasangan yang telah menjalinkan hubungan agak lama tidak terlalu peka tentang masalah ini. Mereka lebih memikirkan kepuasan hati apabila mengkritik berbanding memikirkan sensitiviti pasangan.
Tanpa mereka sedari, ia sebenarnya telah menimbulkan masalah dalam hubungan dan sekiranya ia dibiarkan berterusan, mungkin akan membuatkan orang yang sentiasa dikritik merasakan perpisahan adalah jalan terbaik.
Kritikan yang melampau bukanlah satu cara yang membina sebaliknya ia boleh menjatuhkan semangat seseorang.
(2) Penipuan - Jangan sesekali memulakan penipuan dalam hubungan walaupun ia suatu perkara yang kecil kerana ia akan memberi kesan dalam hubungan untuk jangka masa panjang.
Masalah ini perlu dipandang serius untuk mengelakkan pasangan terasa seperti dianiaya. Dikhuatiri penipuan yang telah dilakukan akan mempengaruhi pasangan yang ditipu untuk turut menipu. Adalah lebih teruk sekiranya masalah ini akan terus berlanjutan dan berbalas-balas di antara satu sama lain.
(3) Intipan - Walaupun niat anda mungkin baik untuk mengetahui setiap pergerakkan atau aktiviti pasangan anda, tetapi ia sebenarnya akan membawa masalah besar dalam perhubungan sekiranya tindakan "intipan" diketahui pasangan anda. 
Oleh itu, binalah kepercayaan dan elakkan keraguan terhadap diri pasangan anda. Sekiranya tanda-tanda kecurangan dapat dikesan atau was-was, barulah anda cuba melakukan intipan. Apa yang paling penting ialah jangan sesekali bersangka buruk terhadap pasangan.
(4) Cemburu yang melampau - Cemburu sememangnya amat penting dalam hubungan. Ia adalah sebagai tanda anda benar-benar menyayangi pasangan anda. Malangnya, perasaan cemburu yang tidak terkawal akan menjadi punca masalah dalam hubungan. Perasaan cemburu itu haruslah dikawal agar bersesuaian dengan situasi, tempat, keadaan atau sebagainya.
(5) Membandingkan hubungan masa lampau - Pasangan tidak seharusnya melakukan perkara seperti ini dalam hubungan. Jangan membandingkan hubungan sekarang dengan hubungan masa lampau. Ini akan mewujudkan pelbagai pemikiran negatif terhadap pasangan. Masalah ini perlu diberi perhatian untuk mengelakkan timbulnya masalah yang lebih besar pada masa akan datang.
(6) Masalah komunikasi - Ia adalah merupakan masalah yang kritikal kerana ia melibatkan persefahaman dan penilaian terhadap pasangan masing-masing. Ini kerana semua masalah dalam hubungan seperti perasaan cemburu, krtitikan, penipuan atau sebagainya dapat diatasi sekiranya pasangan mampu berkomunikasi dengan baik. Komunikasi yang baik juga dapat membantu kedua-dua pihak untuk meluahkan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara.
(7) Mengambil ringan - Apabila sesuatu hubungan telah melalui satu jangka masa yang panjang, kebiasaannya pasangan akan mengambil ringan atau kurang memberi respon (tidak peduli) terhadap pasangan masing-masing. Masalah ini perlulah dielakkan. Bahkan, kedua-dua pasangan seharusnya berusaha untuk menyemarakkan lagi perasaan serta menguatkan ikatan cinta yang terjalin sekian lama agar terus berkekalan. 
(8) Aktiviti harian - Setiap orang pasti mempunyai tanggungjawab masing-masing yang perlu dilakukan, tetapi, jangan sesekali mengabaikan pasangan kerana ia juga merupakan salah satu dari tanggungjawab anda. Walaupun anda sibuk dengan aktiviti harian, carilah masa yang sesuai untuk diluangkan bersama pasangan anda. Masalah dalam hubungan pasti berjaya dielakkan sekiranya anda bijak untuk membahagikan masa.

Artikel dari : iluvislam.com

Relakan Perpisahan Itu


Pernahkah kita terasa tiba-tiba sahaja seolah-olah tidak mengenali pasangan kita? Mengapa dia menjadi "manusia lain"? Seakan-akan kita belum pernah mengenalinya walaupun telah berumahtangga sekian lama. Jika kita pernah mengalami perasaan itu, jangan terkejut. Ia adalah perkara biasa. Bukan sesuatu yang luar biasa.
Itu semua gara-gara warna sebenar (true colours) pasangan kita mula terserlah. Satu demi satu wataknya yang tersirat mula tersurat. Mengikut kajian pakar perkahwinan, hanya setelah usia lima tahun perkahwinan, barulah masing-masing (suami dan isteri) mengeluarkan semua sikap dan perangai mereka yang tersembunyi.
Pernah kita baca di dada akhbar  bagaimana kelohan seorang isteri yang telah disimbah asid oleh suaminya. Katanya, "setelah tiga bulan berkahwin barulah saya sedar bahawa suami saya sebenarnya seorang yang panas baran." Ironinya, mungkin pasangan itu telah bercinta (berpacaran) tiga tahun sebelum mereka berkahwin. Bayangkan, tiga tahun bercinta tanpa mengenal diri kekasih yang sebenar. Benarlah cinta itu buta.
Cinta kerana nafsu memang buta. Kita dikelabui oleh daya tarikan fizikal sehingga tidak punya mata hati dan akal untuk mengenal siapa yang kita cintai dengan tepat dan betul. Selama tiga tahun bercinta mungkin yang kita 'gunakan' cuma nafsu dan emosi bukan fikiran dan hati. Hasil, setelah tabir perkahwinan mula diangkat, tabir percintaan pun berlabuh. Realiti tidak seindah ilusi. Kenyataan berbeza sungguh daripada impian.
Masa bercinta, warna sebenar – true colours pasangan kita tidak akan ketara. Dia boleh bermuka-muka dan rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita. Dan kita juga rela mengikut segala kehendaknya. Kita dan dia mabuk cinta! Namun semakin lama berumah-tangga, maka semakin ketara kelemahan dan kekurangan. Apakah dia umpama bulan yang dipuja dikejauhan oleh Sang sastrawan tetapi botak dan berlopak di mata seorang angkasawan?
Pada tahap ini, ramai yang mula menyesali diri. Mengapa dia yang ku pilih? Tanpa sedar bahawa pada masa yang sama, dia juga mungkin berbisik mengapa kita yang dipilihnya? Inilah bibit-bibit yang boleh meruntuhkan sebuah rumahtanga. Yang nekad, rela berpatah arang lalu menempuh jalan penceraian. Yang penakut, menunggu dengan resah memendam perasaan,tanpa ada lagi keceriaan.
Manusia adalah makhluk yang sentiasa berubah. Ia punya hati yang sangat konsisten untuk berbolak-balik. Bila hati berubah, fikiran dan tingkah laku juga akan berubah. Untuk kita mengenal manusia (termasuk pasangan kita) kita terpaksa mengenali perubahan itu. Ah, ini suatu yang sangat sukar. Masakan tidak, untuk mengenal hati sendiripun acapkali kita tidak mampu, inikan pula hati orang. Sukar diduga dan ditebak.
Akibatnya, ramai orang yang berkahwin dengan orang yang 'tidak dikenalinya'. Bukan rupa zahirnya tetapi wajah batinnya. Disangka permata, rupanya kaca. Cuaca rumah tangga mula berubah. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari. Situasi inilah yang banyak berlaku dalam rumahtangga kini hingga menyebabkan (mengikut kajian) setiap lima belas minit berlaku satu penceraian!
Apakah cara mengenal manusia yang serba kompeks ini? Bagaimana menentukan dengan pasti bahawa pasangan yang bakal kita pilih itu baik orangnya? Ya, ada tiga cara:
1. Jadi orang baik.
Maksudnya, kita sendiri cuba sedaya upaya menjadi orang yang baik, Insya-Allah kita akan dikurniakan orang yang baik sebagai pasangan hidup kita. Ini janji Allah. Menjadi orang yang baik perlu diutamakan berbanding 'mencari' orang yang baik. Ia lebih mudah kerana menjadi orang baik bermula dengan diri sendiri.
Perlu diingat, janji mendapat pasangan yang baik bagi orang yang baik, bukan hanya berlaku pada awal perkahwinan. Mungkin pada awalnya pasangan orang yang baik itu belum begitu baik namun berkat didikannya, pergaulannya dan doanya maka pasangannya  itu berubah menjadi baik selepas mereka berkahwin.
Jadi, jangan putus asa sekiranya pada awal perkahwinan kita lihat pasangan kita belum benar-benar baik seperti yang kita harapkan. Sebaliknya, teruskan usaha untuk menjadi orang yang baik sambil mendidik dan mendoakan pasangan kita itu. Ingat, setelah berkahwin dengan kita, pasangan kita itu adalah cerminan akhlak dan keperibadian kita. Siapa mereka sebelum berkahwin dengan kita kurang penting berbanding siapa mereka setelah berkahwin dengan kita.
Justeru, tidak kira siapa dia sebelum berkahwin dengan kita, tetapi sebagai suami atau isteri kita komited untuk merubah diri kita sendiri terlebih dahulu seiring usaha merubah dirinya. Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka dengan apa yang kita dapat. Caranya, ialah dengan merubah diri kita terlebih dahulu, dan insya-Allah perubahan itu akan merubah pasangan kita ke arah yang sama.
2. Ikut pilihan orang baik.
Ada orang yang menyerahkan hak membuat pilihan kepada orang-orang yang dianggapnya sangat baik dalam hidup ini. Mereka meminta ibu-bapa, ustaz-ustaz, ulama-ulama atau sesiapa sahaja yang dianggap baik untuk memilih jodoh buat mereka. Mereka pasrah dan menyerah sahaja. Tetapi dengan satu keyakinan: Orang yang baik pasti akan memilih orang yang baik sebagai pasangannya.
Ibu-bapa, para ulama dan orang yang baik-baik sekali-kali tidak akan menganiayai kita dengan memilih orang yang 'jahat' sebagai pasangan hidup kita. Kaedah ini telah dipraktikan oleh anak-anak muda zaman dahulu yakni ketika nilai-nilai agama belum dicabar oleh nilai Barat yang kononnya menyanjung hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.
Pada pilihan orang yang baik, ada keberkatannya. Walaupun tidak ada cinta sebelum berkahwin, tetapi cinta selepas berkahwin jauh lebih suci dan indah. Cuba kita renungkan, betapa seringkali rumah tangga ibu-bapa yang berkahwin mengikut pilihan orang tuanya lebih kekal dan harmoni berbanding rumah tangga anak-anaknya yang kononnya berkahwin atas dasar cinta.
Inilah kaedah yang dipraktikan oleh Zainab yang berkahwin dengan lelaki yang menjadi pilihan bapanya (Rasululllah saw). Zainab akur atas pilihan itu kerana yakin akan sifat kasih sayang, amanah dan kebijaksanaan ayahnya. Dia yakin hanya orang baik (Rasulullah saw) mampu mengenal orang baik dan memilih orang baik sebagai pasangan hidup anaknya.
Justeru, sekiranya kita terlalu sukar untuk mengenali seseorang secara tepat, maka serahkan sahaja tugas itu kepada orang yang lebih arif untuk mengenalnya. Jangan cuba membuat penilaian sendiri. Bermuzakarahlah dengan orang yang baik-baik dan dirikan solat istikharah – pinta petunjuk daripada Allah setelah pilihan itu diserahkan ke tangan kita. Tidak akan kecewa orang yang bermuzakarah dan beristikharah!
3. Cintai Allah yang Maha Baik.
Kita tekad sahaja untuk mencintai Allah. Jangan pandang cinta manusia lagi. Buru cinta yang utama dan pertama (cinta Allah), insya-Allah cinta kedua, ketiga akan memburu kita. Apabila kita mencintai Allah, Allah akan mencintai kita dan bila Allah telah mencintai kita, semua orang yang mencintai Allah akan turut mencintai kita. Rasulullah saw telah bersabda:

"Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: "Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!" Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata: "Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia." Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." (Hadis Riwayat Bukhari)
Untuk mencintai Allah, kita wajib mencintai Rasulullah saw. Antara langkah-langkah menyintai Rasulullah saw itu adalah dengan banyak berselawat kepadanya, menegakkan sunahnya, menziarahi makamnya dan lain-lain lagi. Ini adalah ubat yang mujarab bagi isteri yang dikecewakan suami atau suami yang dipinggirkan oleh isteri. Jangan menagih cinta makhluk sampai kita derita dan sakit hati dibuatnya. Merajuk pada yang kasih, merayu pada yang sudi.Siapa lagi yang terus kasih dan sudi mencintai kita ketika semuanya telah berpaling kecuali Allah?
Ya, burulah cinta itu. Cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku, justeru tapak cinta itu di hati, bukan lagi di 'body'. Biarlah cinta pasangan kita berubah (walaupun kita terus berdoa agar tidak begitu), tetapi kita tidak akan berubah daripada menyintai Allah.
Yakinlah jika pasangan kita juga menyintai Allah, pasti dia dan kita akan disatukan-Nya semula. Jika tidak, relakanlah perpisahan itu. Jangan bersedih, kerana sesuatu yang tidak memanfaatkan pasti tidak boleh memudaratkan!

atikel dari :iluvislam.com ...

Hutang Suami Kepada Isteri


Setelah beberapa tahun saya menjadi pengamal undang-undang dan berkongsi ilmu dalam beberapa 'ceramah', isu yang selalunya timbul apabila membicarakan tentang poligami adalah isu mengenai nafkah.
Dalam sebuah kuliah yang saya hadiri, ada seorang muslimat bertanya, "Puan, boleh tak kita mencuri duit dari poket suami untuk kegunaan keperluan rumahtangga?"
Walaupun saya pasti majoriti anda sudah maklum akan jawapannya, di sini saya sekadar ingin bertanya pihak suami, "Kenapa harus isteri mencuri haknya sendiri yang tidak kamu tunaikan?"
Dari Muawiyah al-Qusyairi, berkata: "Saya datang kepada Rasulullah S.A.W lalu saya bertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami?" Sabdanya: "Berilah mereka makan dari makanan yang kamu makan, berilah mereka pakaian dari pakaian yang kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka (H.R Abu Dawud)
Ayat-ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa setiap suami bertanggungjawab memberi makanan, pakaian kepada isterinya sesuai dengan kemampuannya. Suami tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada apa yang dimakan dan dipakai suaminya.
Begitu juga kadar makan dan pakai yang menjadi hak isteri diberikan mengikut kadar yang mampu diberikan oleh suaminya. Di dalam hal ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang di luar kemampuan suaminya. Akan tetapi sekiranya si suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam situasi ini si isteri dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda Rasulullah S.A.W: 
Dari Aisyah r.a berkata: Sesungguhnya Hindun datang kepada Rasulullah lalu bertanya: "Wahai Rasulullah, Abu Sufyan adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku, sehingga terpaksa aku ambil dari hartanya tanpa pengetahuannya". Lalu Baginda bersabda: "Ambillah sekadar cukup untuk dirimu dan anakmu dengan wajar". (H.R Bukhari dan Muslim.
 *Menurut Imam an-Nawawi bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara iaitu;
i. Makanan.
ii. Bahan-bahan keperluan dapur seperti rempah-ratus (bawang, beras/ tepung, minyak masak, garam, gula, asam termasuk lauk-pauk dan sebagainya)
iii. Pembantu rumah bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.
iv. Pakaian.
v. Alat-alat pembersih badan (sabun, syampu, dan lain-lain)
vi. Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas bilik  tidur dan sebagainya
vii. Tempat tinggal (rumah).
(an-Nawawi: 450-461)
Nafkah suami terhadap isteri yang tidak terlangsai itu akan tetap dikira sebagai hutang sekiranya isterinya tidak redha.
Mengikut Hukum Syara'  isteri yang taat dan tidak disabitkan nusyuz oleh Mahkamah Syariah berhak mendapat nafkah daripada suaminya.
*Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah suaminya iaitu antara lain;
a) Apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya.
b) Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya.
c) Apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Kepada para isteri, andai isteri-isteri semua redha tidak diberikan nafkah tersebut oleh si suami, maka terlepaslah hukuman untuk suami-suami anda di akhirat. Tetapi andai isteri tidak redha, persoalan nafkah ini akan tetap dibangkitkan kembali ketika hari penghisaban di akhirat kelak.
Kepada para suami sekiranya nafkah si isteri tersebut sengaja diabaikan, bawalah bertaubat dan langsaikanlah semula hak-hak si isteri mengikut kemampuan anda. Sudah tentu anda tidak mahu disekat daripada menjejakkan kaki ke Syurga semata-mata kerana hutang anda yang tidak terlangsai kepada si isteri. Wallahualam.
Artikel dari :iluvislam.com ....