Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

27 August 2011

"Akak.. Bagaimana Cinta Dan Kahwin Kerana Allah?"


Artikel dari : iluvislam.com

"Kahwin kerana Allah, bukan kerana nafsu... macamana tu, kak? Realitinya ada keadaan macam ni?" Menarik juga persoalan yang masuk ke dalam mesej pesanan ringkas saya dan saya ingin berkongsi pendapat tentangnya dengan pembaca iluvislam. Isu ini cukup menarik dibincangkan terutama sempena bulan Februari tidak lama lagi, di mana seluruh dunia menyebut tentang Hari Kasih Sayang atau Valentine yang jatuhnya pada 14 Februari. Walau apapun, Februari atau tidak, menyambut Hari Kasih Sayang atau tidak... isu cinta, kasih sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar sepanjang zaman.

Persoalan cinta, kasih sayang dan perkahwinan tanpa 'dicemari' nafsu adalah konsep ideal, indah serta menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu mempraktik atau merealisasikannya dalam kehidupan seharian. Akal sering tersilap menilai dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat 'kerana Allah' dan 'kerana nafsu' dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, sama ada 'cinta sebelum nikah' atau 'cinta selepas nikah' begitu kabur kerana ia adalah 'soal hati' yang sukar dijangkau akal biasa dan mata lahir.

Rumahtangga, rumah dan bilik air

Istilah 'rumahtangga' menggambarkan rumah berserta keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal yang tidak banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah tempat berlindung, walaupun rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak lengkap dan sempurna. Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan panas, tempat istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.

Dalam rumah terdapat beberapa... bilik tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa bahagian tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang sangat kritikal dalam sebuah rumah. Bilik air mungkin tidak 'popular' dan bukan pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia menjadi resah dan tidak selesa tanpa 'mengunjunginya'. Kelegaan yang dirasa selepas qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang digemari dalam rumah tersebut.

Antara membina rumah dan membina bina bilik air

Saya suka mengambil sebuah rumah fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas niat 'kerana Allah' atau 'kerana nafsu'. Ketika membina rumah, hasrat utama adalah untuk ada tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat hidup dengan selesa. Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik air semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin 'kerana Allah' dengan 'kerana nafsu'.

Jika bilik air sebagai niat utama, ini ibarat kahwin 'kerana nafsu'. Jika demikian maka pembinaan 'rumah' itu adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina sebuah rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat niat kahwin 'kerana Allah'. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan. Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.

Tambahan lagi, manusia tidak membina rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi dimulakan dengan asas atau foundation yang kukuh, lantai, dinding dan bahagian-bahagian utama. Begitu juga dengan pembinaan rumahtangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya diambil kira sejak dalam proses memilih pasangan.

Misi dan Visi Perkahwinan

Ikatan perkahwinan merupakan ikatan antara dua manusia berbeza jantina, maka semestinya ia mesti berlandaskan misi dan visi penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah di mukabumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai 'team work' melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah asas yang paling kukuh dan niat yang paling murni 'kerana Allah'. Ini bermakna perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.

Untuk memikul pertanggungjawan sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai halangan, rintangan dan beban yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri, anak-anak dan seluruh keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.

Ekpresi kasih sayang antara manusia terluah dalam banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan melalui akad ijab dan kabul. Persepsi 'nafsu' dalam kefahaman kebanyakan manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu-isu berkaitan dengannya. Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang dalam bentuk hubungan seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual meyandang label jijik, kotor dan hina.

Kerana Allah – merujuk kepada peraturan-Nya

Niat 'kerana Allah' dalam percintaan dan perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t di setiap peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas ketika memilih pasangan untuk membentuk 'team work' rumahtangga, patuhi segala suruhan dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah keperluan seksual.

Khalifah-khalifah dan hamba-hamba Allah yang lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.

Pencemaran dalam niat

Niat 'kerana nafsu' digambarkan oleh keadaan dimana perkahwinan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah seksual. Sedar tak sedar, niat 'menghalalkan' hubungan seksual dalam ekspresi cinta dan kasih sayang secara lahiriah kelihatan begitu 'murni'. Ya, sememangnya ini tidak salah... namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat membina rumah bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.

Rumahtangga begini tidak akan kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab berkubur begitu sahaja. Persoalan tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan. Kebahagiaannya tidak berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik. Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini tidak berkembang menjadi khalifah dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi generasi perosak muka bumi. Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah kesengsaraannya bermula di dunia lagi. Na'uzubillah!.

Kerana Nafsu semata – membujur lalu melintang patah

Ekpresi cinta dan kasih sayang atas dorongan nafsu semata-mata tergambar dalam kehidupan seharian ketika peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga andai berlaku pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah... inilah gambaran niat semata-mata 'kerana nafsu'. Anugerah cinta dan kasih sayang dari Ar Rahman dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk zina.

Sifat Maha Pengampun Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu

"Allah fahamm... kan dia yang ciptakan kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun..." demikian kata-kata yang lahir dari dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.

Peluang taubat di eksploitasi semahu-mahunya sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum. Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.

Semoga Allah melindungi kita dari pengaruh cinta nafsu semata-mata.

Destinasi akhir ekspresi cinta

Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga yang kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberi selendang sebagai khalifah muka bumi.

Allah sediakan syurga untuk manusia tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada risiko menanti jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan kasih sayang... Semoga Allah memimpin dan memberi taufik dan hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia yang Ar Rahman dan Ar Rahim.

Aku Tak Mahu Suamiku Berdosa

Artikel dari : iluvislam.com

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku melabuhkan jilbabku
Berusaha menutup sempurna auratku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku perlengkapkan diriku
Dengan ajaran agama
Agar dapat membezakan
Antara yang benar dan salah

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku hadkan pergaulanku
Dengan yang bukan mahramku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Lantas aku menjaga diriku
Agar terhindar dari fitnah manusia

Aku tak mahu suamiku berdosa
Kerana aku sayangkan suamiku
Dan aku tak mahu suamiku terhumban
Ke neraka jahanam kerana diriku

Aku tak mahu suamiku berdosa
Kerana aku
Aku tak mahu suamiku berdosa..

Dia Bukan Cinta Nombor Satu - Part 1

Artikel dari : iluvislam.com

Bayangkan setiap 15 minit berlaku perceraian ... Begitulah rapuhnya rumah tangga umat Islam di Malaysia. Rumah tangga adalah benteng terakhir ummah, tempat bermulanya tapak generasi. Jika di situ sudah bermasaalah, di tempat lain tidak dapat dibayangkan lagi. Ada sahaja kisah suami yang curang, isteri yang beralih cinta. Kekadang anak telah dua, tiga dan empat... tetapi masih ingin memburu cinta. Ada yang memburu di alam nyata (menjejak semula kekasih lama atau terjumpa kekasih baru), ada yang memburu cinta di alam siber – bencinta lewat laman sosial internet yang serba maya.

Entah apa yang diburu oleh manusia ini... yang hidup di dunia tanpa menyedari hari kembalinya yang pasti ke akhirat. Di mana diletakkan Allah dalam peta cintanya sesama manusia. Suami yang ada dipersia, lelaki lain pula dicari sebagai ganti. Konon suaminya tidak bertanggung jawab, tidak romantik, tidak pandai membelai atau apa sahaja. Berikan nama yang buruk pada anjing dan bunuh saja! Begitu kata pepatah Inggeris. Apabila hati sudah berubah, segala kebaikan dahulu dilupakan. Ada pula, isteri yang di sisi sudah setia, perempuan baru pula diburu kononnya demi cinta sejati. Segala yang buruk-buruk dibongkar, dijadikan justifikasi untuk menghalalkan cinta baru yang digilai siang dan malam.

Manusia-manusia itu seperti kelkatu yang terbang menuju sumber cahaya. Sudah ramai yang terhantuk lalu jatuh bergelimpangan di lantai... namun kelkatu yang lain masih terus terbang menuju tempat yang sama. Tidak pernah ada yang mengambil iktibar daripada korban-korban yang telah bergelimpangan. Maka begitulah suami atau isteri yang tertipu ini, memburu cinta bagaikan kelkatu memburu cahaya...

Percayalah, tujuanmu tidak akan tercapai, bahkan akan terjadi kebinasaan. Namun dia degil, dia pergi jua. Percayalah, tidak akan ada ketenangan dan kebahagiaan di atas kesusahan, kezaliman dan penindasan terhadap orang lain (apatah lagi yang dizalimi itu isteri atau suami atau anak-anak mu sendiri). Allah benci orang zalim! Dan kebencian itu sudah cukup untuk menyebabkan penderitaan seumur hidup.

Mengapa kau zalimi anak mu, isteri atau suami mu? Apakah dosa mereka terlalu besar hingga kau tidak sudi lagi memaafkan? Apakah kau tidak menyedari bahawa pasangan mu adalah cermin kepada diri mu sendiri? Maksudnya, siapa pasangan kita ditentukan juga oleh siapa kita yang sebenarnya? Dirimu dan pasanganmu saling mencorakkan. Ketika palitan hitam kau katakan ada pada wajahnya, sedarkah engkau bahawa kau juga yang pernah melakarkannya? Jadi, bertanggung jawablah. Jangan lari. Binalah semula rumah tangga mu... kerana cinta yang ada di tanganmu kini adalah nyata, manakala yang kau buru itu mungkin hanya fotomorgana.

Bagi suami atau isteri yang ditinggalkan... sedarkan dia. Doakan dia. Berusahalah sedaya mungkin untuk 'mengembalikan' dia kepada cinta yang nyata. Namun kalau dia berdegil, biarlah dia pergi. Hidupmu terlalu singkat untuk 'dirosakkan' oleh dia seorang. Ingat dia itu bukan cinta nombor 1!

Nombor 1 Allah. Nombor 2 Rasulullah. Nombor 3, suami). 
Itulah turutan cinta seorang wanita bernama isteri, 
(jika pada lelaki, nombor 3 itu ibu, no 4 itu apa, no 5 baru isteri). Agar tidak menderita, jagalah turutan cinta ini. Yang dahulu, wajar didahulukan. Yang kemudian, mesti dikemudiankan. 
Jangan disusun cinta itu begini... Nombor 1 suami. Nombor 2 suami. Nombor 3 pun suami. Ini tindakan yang bakal mengundang kecewa.

Jangan pinggirkan Allah kerana Dia yang mengurniakan rasa cinta. Jangan dilupakan Rasulullah kerana dia yang memberi panduan untuk bercinta. Ingat pesan Rasulullah melalui sabda Baginda dalam hadis riwayat al-Tirmizi yang bermaksud:

"Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang, tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya."

"Jika" hanya "jika". "Jika" akan kekal sebagai "jika". Ia tidak pernah berlaku. Seorang wanita tidak boleh menyembah manusia lain sekalipun suaminya sendiri. Sebaiknya, cintailah suami dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah kerana Allah. Itulah resepi untuk bahagia dalam bercinta!

Betapa ramai isteri yang kecewa akibat ditinggalkan suami yang dicintai. Sama ada dipisahkan oleh mati atau oleh sikap suami yang tidak mencintainya lagi. Bayangkan apabila segala-galanya untuk dan kerana suami, apabila suami tidak ada lagi, putus harapan dan berserabutlah fikiran. Ramai yang sudah menerima nasib begini... Bayangkan setiap 15 minit, berlaku satu perceraian. Siapakah yang menempuh gerbang perkahwinan dengan harapan untuk bercerai? Tidak mungkin ada!

Mukadimah Penentu Natijah

Perkahwinan dibina dengan harapan. Untuk mencapai harapan, tidak cukup dengan rasa cinta. Ia perlukan tanggungjawab. Kata bijak pandai, sesuatu akan berakhir mengikut bagaimana ia bermula. Mukadimah banyak menentukan natijah. Untuk mengekalkan cinta sampai ke hujung (hujungnya di syurga), mesti diperkukuh dari pangkalnya. Perkahwinan dimulakan dengan percintaan, tetapi disempurnakan dengan tanggungjawab. Dan sebaik-baik cinta ialah cinta yang didasarkan oleh tanggungjawab. Sebab itu ahli bijaksana mendefinisikan cinta sebagai"rasa ingin bertanggungjawab kepada seseorang".

Janganlah hendaknya cinta dan rumah tangga dibina hanya sekadar untuk memenuhi kehendak fisiologi dan biologi. Itulah cinta yang diilhamkan oleh Tuhan untuk haiwan (demikian kata al-Farabi). Juga bukan untuk mengejar status sosial. Jika rumah tangga hanya dibina untuk makan minum, perlindungan (rumah), pengangkutan (kereta), berkelamin (seks), kawan (sosial), kesihatan dan penghargaan diri (ego), apa bezanya cinta kita dengan cinta haiwan. Itu cinta kelas kedua.

Jika itulah bentuk cinta kita, itu hanya cinta alat bukan matlamat. Cinta kelas kedua mesti dibawa kepada cinta kelas pertama. Pandang wajah suami kita, bolehkah dia membawa kita kepada cinta Allah? Renung mata isteri kita, apakah dia teman kita menuju Allah? Jika ya, alhamdulillah, syukur. Kita sudah berada di jalan yang betul. Maka melangkahlah dengan yakin walau terpaksa menempuh pelbagai kesusahan.

Jika belum, berusahalah, berdoalah... agar dia mampu juga. Jika tidak hari ini, esok. Jika tidak esok, lusa. Teruskan berusaha dan berdoa.

Anak Muda Bercerai: Siapa Yang Terkena?


Artikel dari : iluvislam.com

Dalam sebuah risalah yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid yang bertajuk 'Berwaspada!!!Perceraian Di Usia Muda; Anak Menderita' dengan jelas mendatangkan butiran-butiran dan fakta-fakta yang berkaitan dengan statistik perceraian di kalangan pasangan Melayu Islam di Malaysia yang semakin parah.

Apa yang lebih mengejutkkan ialah peningkatan mendadak jumlah perceraian di kalangan pemuda-pemudi yang baharu dan dianggap pucuk sahaja dalam arena berumahtangga. Belum pun sempat mengenal hati budi masing-masing sebahagian daripada mereka terpaksa mengambil langkah drastik iaitu bercerai bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Nyata kesan akibat perceraian itu akan memalitkan luka yang dalam kepada mereka yang terlibat.

Pada penulis perceraian adalah satu jenayah terhadap anak-anak yang masih kecil serta memerlukan sepenuh kasih sayang daripada kedua orang tua mereka. Anak-anak yang tidak mempunyai ibu atau ayah ketika membesar akan lebih berisiko untuk terdedah kepada masalah psikologi yang serius lantas mengakibatkan rantaian kepada gejala-gejala sosial lain.


Statistik perceraian di Malaysia

Merujuk kepada risalah yang dinyatakan di atas, statistik semasa daripada JAKIM menunjukkan bahawa kadar perceraian di Malaysia adalah amat membimbangkan.

Dengan jumlah keseluruhan perkahwinan antara tahun 2005 hingga 2008 yakni sebanyak 491,470, jumlah perceraian pula adalah sebanyak 80,564 kes seluruh negara.
Jumlah perceraian saban tahun jelas menunjukkan peningkatan, bermula 2005 dengan 17,749 diikuti tahun 2006, 19,475. Pada tahun 2007 pula telah meningkat kepada 21,051 kes dan ianya terus meningkat pada tahun berikutnya dengan jumlah sebanyak 22,289.

Data juga menunjukkan bahawa perkahwinan kurang dari 10 tahun paling banyak menghadapi kes perceraian saban tahun. Lingkungan umur individu yang terlibat dalam kes perceraian usia rumah tangga yang setahun jagung ini adalah dalam lingkungan 31-35 tahun.
Ini jelas menunjukkan bahawa dalam umur perkahwinan yang kurang 10 tahun itu jugalah zuriat daripada ibu bapa masing-masing sedang memerlukan sepenuh perhatian dan kasih sayang dalam membentuk dan mendidik mereka.

Tidak terbayang kesannya kepada mereka ini dek kerana terpaksa memikul bebanan psikologi di usia yang masih amat hijau itu akibat daripada perceraian kedua orang tua mereka. Akhirnya kerana mereka terlepas dari menerima curahan kasih sayang dan perhatian dari kedua orang tua mereka akan lebih mudah terdedah dengan anasir-anasir bobrok(dilapidated) sosial semasa.


Mencegah Penceraian

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubat. Falsafah klise ini seakan sangat sinonim dengan rakyat Malaysia amnya. Malah ada ungkapan yang serupa dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab, walaupun kita kurang pasti hak milik siapa sebenarnya perumpaan tersebut. Namun nilainya tetap wajar untuk diambil sebagai iktibar.

Persiapan untuk menghadapi sepak terajang dalam berumah tangga sepatutnya telah dibuat sebelum berada di dalam arena itu lagi. Kita sangat memuji pihak kerajaan kerana telah memperkenalkan kursus kahwin yang wajib dihadiri oleh bakal pasangan pengantin yang mendedahkan pelbagai perkara untuk persiapan ke alam berumahtangga dalam masa dua hari.

Sebenarnya ia dikira tidak mengcukupi kerana ilmu berkenaan ibadat rumahtangga ini perlu sentiasa dipelajari dan dihayati oleh pasangan dari masa ke semasa. Modulnya juga harus sentiasa dipantau dan ditambah baik bersesuaian dengan kepesatan dan kemajuan semasa.

Pihak penganjur tidak boleh memandang keuntungan semata-mata kerana di sinilah ruang dakwah secara langsung terbentang luas. Penceramah seharusnya memainkan peranan seoptimum mungkin, pengalaman kita mengatakan bahawa peserta kursus akan datang secara berpasangan kebiasaannya kerana kelas dijalankan secara unisex. Penceramah pula tidak lebih dari berlawak jenaka yang berbau lucah sahaja. Akhirnya peserta hanya akan mendapat sekeping sijil pengesahan perkahwinan untuk mengcukupkan syarat perkahwinan mereka yang ditetapkan oleh jabatan agama.

Arahan mewajibkan pasangan yang bakal berkahwin untuk mengambil ujian HIV juga amat digalakkan dan harus diberi pujian kepada jabatan agama sekaligus pihak kerajaan. Pada peringkat awalnya, hanya beberapa negeri sahaja yang menjalankan dasar itu namun kini ianya adalah diwajibkan ke seluruh negeri di dalam negara Malaysia. Ini adalah teknik pengcegahan yang berkesan.

Mad'u-mad'u yang sedia datang menyerah diri ini jika dibelai dengan penuh hikmah maka akan terjalinlah ikatan berpanjangan dengan para penganjur dan tawarkanlah khidmat kaunseling dari masa ke semasa bahkan sehingga mereka menjejak ke alam rumah tangga sekalipun.


10 Persiapan bakal suami mahupun isteri
Apabila diperhatikan secara dalam, antara punca kepada perceraian di usia perkahwinan dan usia pasangan yang muda adalah kerana mereka boleh dianggap sedikit terburu-buru dengan berkahwin tanpa persediaan yang sepatutnya dari sudut fizikal, mental dan mungkin juga material.

1. Pasangan yang bakal berkahwin perlu tahu dan faham skop tanggungjawab masing-masing dalam memainkan peranan sebagai suami mahupun isteri. Kewajipan melaksanakan amanah tersebut adalah kewajipan dan menjadi tuntutan agama, malah ia akan dihisab di padang Mahsyar kelak.

2. Pasangan yang bakal berkahwin juga mesti mendalami ilmu agama secara berterusan terutama untuk bakal suami, kerana menjadi kewajipan suami kelak untuk mendidik isteri dengan ilmu agama. Jika tidak mampu cadangkan dan doronglah mereka untuk menghadiri kuliah-kuliah agama. Jangan pula kita menghalang mereka daripada menuntut ilmu agama tersebut.

3. Perlu adanya satu ketetapan sebelum perkahwinan bahawa walauapapun yang terjadi di dalam rumahtangga (selagi tidak memudaratkan keselamatan), maka jangan sampai ianya melibatkan orang ketiga termasuk kedua ibu bapa atau mentua sekalipun. Berdepanlah secara lemah lembut dan berhikmah dengan pasangan, insya-Allah keharmonian rumahtangga menjadi habuan.

4. Perlunya pasangan itu memahami adat resam budaya tempatan pasangannya jika perkahwinan mereka berbentuk rentas budaya(cross-cultural). Sentiasa menghormati dan cuba salami dan asimilasikan adat resam budaya belah pasangan, anda tentu akan menjadi kebanggaan bakal mentua.

5. Keterbukaan dan perbincangan tuntas secara berterus terang mampu untuk memahamkan pasangan masing-masing jika bakal pengantin tersebut menghadapi masalah seksual. Kerana adalah lebih baik berterus terang dan bagi hak untuk diri pasangan memilih samada untuk terus bersama atau sebaliknya kerana jika hal ini hanya diketahui selepas berkahwin maka pasangan akan rasa tertipu dan yakinlah implikasinya akan bertambah buruk.

6. Buat persediaan yang mantap dari sudut ekonomi, kita tidak nafikan Allah menjamin rezeki kita apabila kita sudah berkahwin dan ini sudah dinukilkan di dalam lembaran kalamnNYA. Namun janganlah pula tunggu sehingga masalah ekonomi memangkin kepada punca krisis rumahtangga. Sebenarnya sikap bertanggungjawab dan berusaha yang paling penting, dan yakinlah Allah tidak akan sia-siakan usaha kita untuk melakukan perkara yang disuruh oleh-Nya.

7. Kerjaya yang merujuk kepada pangkat, pada hari ini menjadi kebiasaan wanita yang lebih bekerjaya mengahwini lelaki yang berjawatan biasa. Di sini sifat sabar pihak suami perlu dioptimumkan dan sifat ego pihak perempuan perlu diminimumkan. Hormatlah pasangan sebagai suami atau isteri kita nescaya kehidupan kita akan harmoni.

8. Kesihatan adalah faktor yang agak penting dalam proses pembinaan rumahtangga kerana penyakit kronik hanya akan dianggap menyusahkan pihak yang satu lagi. Jagalah kesihatan untuk orang yang tersayang, jauhilah amalan merokok dan pemakanan serta gaya hidup yang merisikokan diri kita kepada penyakit kronik. Jika penyakit itu terjadi selepas perkahwinan hanyasalah kepada pasangan perlu bersabar dengan sebenarnya, yakinlah Allah tidak akan menguji hambanya jika ujian tersebut tidak mampu kita tanggung.

9. Hiasilah diri kita dengan akhlak dan perangai yang dianjurkan oleh Islam. Mampirkanlah sikap-sikap yang mahmudah yang tempiskanlah bersikap dengan perangai mazmumah. Sungguh tidak rugi jika kita menjadi orang yang baik-baik kerana kelak orang juga akan baik-baik sahaja dengan kita, 'what you give you get back' adalah kata-kata yang sesuai untuk motivasi dalam kehidupan.

10. Cubalah belajar untuk berkomunikasi dengan cara yang betul. Hampir 80% peratus kegagalan rumahtangga berpunca pada asalanya kerana masalah komunikasi. Krisis ini muncul apabila pasangan mendapati dirinya tidak difahami oleh pasangannya dan ini akan menimbulkan rasa tidak diambil berat lantas mencetuskan pemberontakan dalaman. Ini jelas boleh dilihat dan didengar, bacalah buku motivasi komunikasi rumahtangga yang bertajuk 'Mens Are From Mars, Womens Are From Venus' dan sambungannya 'When Mars and Venus Collide' karangan John Gray.


Kesimpulan

Bahagia atau tidak adalah pilihan kita sendiri. Kita berhak utuk ,membuat pilihan samada ingin bahagia dan gembira atau sebaliknya. Allah sendiri sudah nyatakan bahawa tidak akan diubah sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri. Ini bermaksud walaupun qada dan qadar kita sudah ditetapkan, namun kerana ianya bersifat ghaibiyah dan tidak diketahui kesudahannya maka menjadi kewajipan kita sebagai hambanya untuk sentiasa berusaha mengikut lunas-lunas agama Islam yang benar.

Dan yakinlah hanya kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang sebenar-benarnya akan menjamin ketenangan, keabadian, kegembiraan, keindahan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

23 August 2011

Duhai Suami.....Isterimu BUKAN ( Hamba )

Dari Blog Kakchik :   Keluargakusayang.blogspot.com


Duhai suami,

Apabila suami mengijabkabulkan pernikahan, sudah terbeban pada bahunya suatu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan sehingga akhir hayat. Dalam Islam perkara itu dianggap sebagai hak isteri. Perlu dijelaskan di sini, apabila dikatakan hak isteri, isteri ada hak menuntut apabila tidak diberi oleh suami. Isteri juga ada hak melarang jika suami melanggarnya. Semua ini terpakai selagi isteri itu tidak melakukan nusyuz.

Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bermaksud: “Apakah hak isteri yang wajib dijaga oleh suami? Baginda bersabda: Memberi nafkah kepada isteri; belanja dapur, pakaian dan rumah, jangan memukul muka isteri tetapi mendidik isteri dengan baik, dan tidak menghina isteri dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah.”

Terdapat tiga hak isteri yang wajib dijaga oleh suami, namun kebanyakan suami cuai dalam hal ini. Kesan daripada kecuaian itulah, berlakunya ketidak sempurnaan rumah tangga yang dibina itu. Perhatikan tiga perkara itu dengan baik:

1. Memberi nafkah kepada isteri; belanja dapur, pakaian dan rumah. Sama ada isteri itu kaya atau tidak, suami wajib memberi nafkah kepadanya kecuali isteri dengan rela hati tidak mahu menyusahkan suaminya. Nafkah yang perlu diberi ialah soal makan dan minum seharian. Tuntutan lain daripada makan dan minum bukanlah nafkah yang wajib ditunaikan, namun kalau suami boleh memberinya itulah pahala besar yang bakal diterimanya kelak. Nafkah yang kedua ialah pakaian. Pakaian bukan keperluan setiap hari. Tetapi kalau dia perlu maka wajib dipertimbangkan dengan segera. Tuntutan selain dari kategori pakaian tidak wajib ditunaikan. Nafkah yang ketiga ialah menyediakan tempat tinggal. Suami wajib menyediakan rumah untuk penginapan sama ada rumah sendiri atau dengan menyewa. Tuntutan lain daripada rumah tidak wajib ditunaikan kerana ia tidak termasuk dalam kategori nafkah.

2. Jangan memukul muka isteri tetapi mendidik isteri dengan baik. Suami dilarang memukul isteri atas niat mendera. Maka memukul isteri pada bahagian muka termasuk dalam kategori mendera. Hal ini kerana muka terlalu sensitif kulitnya, mudah lebam dan tercalar. Tetapi memukul bahagian lain dibenarkan dengan syarat tidak atas tujuan mendera. Islam membenarkan suami memukul isteri dengan niat mendidik. Mungkin dengan pukulan itu dia sedar akan kesalahannya lalu bertaubat.

3. Tidak menghina isteri dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah. Hak ketiga ini jarang disedari oleh suami mahupun isteri. Maka setiap detik perbualan mereka terungkap kata-kata menghina. Akhirnya mereka bergaduh hingga membawa kepada perceraian. Suka disebut di sini, suami tidak boleh menghina isteri ketika mereka berduaan, apatah lagi kalau di hadapan orang lain termasuk anak-anaknya sendiri. Jadi, janganlah kerana tidak pandai masak, isteri dihina, janganlah kerana isteri tidak pandai dalam sesuatu urusan, dihina isteri. Seterusnya yang paling penting ialah tidak meninggalkan isteri bersendirian kecuali di dalam rumah. Maknanya kalau pasangan itu keluar ke bandar, lalu dia tinggalkan isterinya di situ dalam keadaan marah. Sedangkan dia balik atau ke mana-mana destinasi. Perbuatan itu adalah salah di sisi Islam. Islam menyediakan peraturan itu adalah untuk menjaga keselamatan isteri zahir dan batin. Percayalah jika semua suami dapat lakukan yang terbaik seperti di atas, pasti tidak berlaku pergaduhan dan penceraian.


Artikel di atas kakchik salin dari blog Ust. Ahmad Baei Jaafar.

20 August 2011

Lebih Rela Menjadi Fatimah

Bibirmu terkunci,
Senyummu terpaksa,
Demi maruah suami,
Kau diamkan segala.

Tangismu hiba di malam gelita,
Batinmu mengadu pada Yang Esa.
Kau tak mahu mengaibkan sesiapa,
Agar orang melihat tiada apa-apa.

Meskipun rahsiamu kemas tersimpan,
Allah tak rela kau menangis sendirian,
Kisah keluarga Nabi, Allah dedahkan,
Sebagai tauladan sepanjang zaman.

Konflik para isteri Nabi menjelaskan,
Betapa perit mengurus kecemburuan,
Walaupun oleh wanita paling beriman,
Apatah lagi dirimu wanita akhir zaman.

Terima-kasih buatmu Nabi,
Atas kebaikan cara, kemuliaan tujuan,
Atas kelembutan dan keadilan,
Wujudkah lelaki kini sebaik Nabi?

Aku belajar dari kepahitan mereka,
Bukan memilih kepahitan untuk belajar,
Terima-kasih Tuhanku tidak memaksa,
Menjaga agamaku daripada tercalar.

Pernikahan bukan medan percaturan,
Poligami bukan cuba-cubaan,
Tanpa keperluan ia bukan pilihan,
Hanya rukhsah ketika tiada jalan.

Syarat ta’liqku kukuh terpateri,
Kerana tiada lelaki sebaik Nabi,
Dan aku tak akan sebaik Aisyah,
Aku lebih rela menjadi Fatimah.

Dari blog :Fatimah Syarha Mohd Noordin

13 August 2011

Kenangan bersama insan yg Paling di Sayang ( Cameron Highland )




gadis2 + seorang jejaka malayan....(hehehe)



abi dan umi di teh boh (lepaking )



bunga rose yg pelbagai warna



fariid dan gadis2.... + bunga




luqman at smoke house



fariid at smoke house 

 time ni pi jejalan dekat cameron highland...sambut birthday abi yang ke ??? lupa la....tahun lepas 16.03.2010..
dan time ni jua lah saya lari dri penang...( bukan suka2 ok ) ada sebab yo .....( jgn fikir negative polak ) lalala...hahah..so dah balik dari penang...terosssss pi Cameron....cuci mata tgk CiptaanNya...sgt2 lah indah.....tu lah last pi Cameron...huhhuhuhu..nak pi lagi...tp xmo pi dah kot...sbb tanah rata mmg dh kene rata..ahahha







Saya Rindukan Keluarga saya...

Disini ada beberapa gambar yg buat saya terkenang zaman bujang dahulu kala...hehe...sweet je...


ummi dan abi (zaini & rosli )

ahmad fariid al-fithr,ummi,abi ,ahmad luqman yusuf

inilah keluargaku yg tercinta....sayang kalian.. 
i-city shah alam....konon2 nk p jamuan raya menteri besar selangor..a.k.a Datuk Khalid katanya,,hehe

ahmad fariid al-fithr a.k.a fared rosli dlm FB hahahha

fariid n luqman....

Jejaka di dalam keluarga saya...

Gambar ini masa raya tahun lepas 2010....tahun ni..takda macam ni dah...tahun ni bersama suami tersayang Muhamad Safuan Rusdan ( Safuan Rusdan -FB )

Mencari Erti Sebuah Perkahwinan


Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan.
Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa.
Ketika nabi Adam tinggal di Syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan.
Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud "Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya."
Berkahwin Kerana Ibadah
Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama.
Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahwat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah.
Kerana itulah, setiap Muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan mithali.
Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah.
Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh.
Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah S.A.W. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani dan al-Baihaqi, Rasulullah S.A.W bersabda:
"Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku."
Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas.
Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan.
Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga.
Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.
Cinta Dan Kasih Sayang
Cinta dan kasih sayang adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam di antara suami isteri berpaksikan Islam.
Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila telah tiada di dunia nanti.
Justeru hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap Baitul Muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan.
Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerana fitrah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang.
Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah ar-Rum:30 :
"Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan Tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui."
Tarbiyah Dan Pendidikan
Pendidikan adalah tema penting dalam sesebuah perkahwinan mithali.
Kecemerlangan dan kehebatan anak-anak yang menjadi tunjang dan penyeri sebuah keluarga bermula daripada pendidikan yang diberikan oleh ibubapa.
Haluan yang dipilih perlulah ditapis daripada elemen-elemen yang tidak sihat yang menjadi punca keruntuhan sebuah keluarga.
Perlu diingatkan bahawa anak-anak adalah aset yang mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.
Pentarbiyahan dan pendidikan yang diterapkan perlu berteraskan ketauhidan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul seterusnya menjunjung al-Quran sebagai kalam Allah yang tidak ada keraguan baginya.
Ibu dan bapa yang prihatin akan sentiasa membentengi anaknya daripada kebejatan moral dan akhlak yang tenat pada mutakhir ini seperti vandalisme, hedonisme dan materialisme yang menatijahkan keruntuhan Iman dan akhlak anak-anak mereka.
Begitu juga, pendidikan anak-anak bukan hanya terpikul di atas bahu ibu atau bapa sahaja, malah kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk keluarganya ke arah keluarga mithali yang hebat dan cemerlang.
Lelaki atau bapa merupakan ketua bagi setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa ayat 34 bermaksud:
"Kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan)."
Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar. Isteri pula perlu mengembelingkan segala potensi kelembutan, ketabahan dan kepekaannya untuk mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik.
Pendidikan anak akan menentukan keindahan dan kejayaan perkahwinan mithali untuk jangka masa yang panjang.
Kita melihat fenomena hari ini di mana anak-anak berselerak dan terbiar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak mithali.
Ibu bapa melepaskan tangan dalam perjuangan mendidik anak-anak.
Amat malang sekali sekiranya kita berbuih mulut bercakap tentang perjuangan Islam sedangkan anak-anak seperti itik yang terlepas dari kandang, terbiar dan membawa diri dalam dunia sendiri.
Sebelum berkahwin sepatutnya pasangan lelaki dan perempuan mendalami dan memfaqihkan diri tentang ilmu-ilmu selok belok rumahtangga. Paling penting kedua-dua pasangan perlu sembahyang dan taat kepada perintah Allah.
Ibu Bapa Mithali
Perkahwinan mithali bermula dari ibu dan bapa yang mithali.
Kita pasti berasa malu sekiranya pasangan suami isteri tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak dek kerana kejahilan tentang Islam yang disengajakan.
Kita tidak mahu ibu dan ayah hanya terkelu lidahnya apabila diminta anaknya mengajar tentang solat, doa-doa harian dan bacaan al-Quran yang betul.
Contoh terunggul perkahwinan mithali tentunya datang dari junjungan mulia Rasulullah S.A.W.
Baginda Rasulullah selaku suri teladan sepanjang zaman telah meletakkan Khadijah binti Khuwailid sebagai wanita pertama yang bertakhta di hati baginda dan berjaya menakluki hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam.
Keindahan perkahwinan baginda terungkap dalam pergaulannya dengan Khadijah dan isteri-isteri yang lain.
Kehadiran putera dan puteri serta cucu baginda telah menyerikan lagi kehidupan keluarga Rasulullah.
Mengimpikan sebuah perkahwinan mithali, hanya tinggal mimpi jika kita tidak menyelak kembali sejarah hidup baginda sekeluarga yang amat indah itu.
Tegasnya perkahwinan mithali yang aman dan bahagia adalah impian pasangan suami isteri.
Namun bukan semua rumahtangga mampu melakar dan mengekalkan kebahgiaan.
Terdapat rumah tangga yang tergadah dengan kekusutan yang tiada jalan penyelesaian malah penceraian menjadi kemuncak pemilihan kerana kemurkaan terhadap hambanya.
Janganlah gelanggang perkahwinan hanya satu platform atau pentas untuk bersandiwara atau bercengkerama tanpa dihiasi dengan keilmuan dan amalan yang berterusan.
Perkahwinan bukan hanya satu testing ground tetapi ia adalah realiti yang perlu ditempuhi dengan kearifan, kesabaran dan kejituan Iman.

Tips Cinta Untuk Kebahagiaan


Cinta menepati satu angka dari perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia.
Kesenian cinta yang didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan kebejadan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat , kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah swt.
"Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah swt." (Hadis Riwayat Ahmad)
Marhalah Amal Islami (Lihat Nazarat fi Risalatul Taalim oleh Muhammad Abdullah Khatib m/s 229)
  1. Pembentukan peribadi muslim
  2. Pembinaan rumahtangga muslim
  3. Membimbing masyarakat menuju Ilahi
  4. Membebaskan tanahair dari belenggu penjajahan kuasa kuffar
  5. Memulihkan kerajaan dari sampukan thoghut
  6. Penguasaan alam
(Seringkali isu kegagalan rumahtangga di perkatakan sehingga ia memberi kesan buruk kepada pasangan yang akan berkahwin . Dapat disaksikan di negara - negara barat apabila muda mudi mulai bosan dengan perkahwinan lantas mengamalkan free sex .)

Rumahtangga yang berjaya ialah yang memiliki suasana asas sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah Ar-Rum ayat ke-21 :
"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu  tanda-tanda bagi kaum yang berfikir ."
Pendakian ke puncak amal Islami iaitu Ustaziatul Alam(Penguasaan Alam) mestilah melalui beberapa marhalah dan aqabah. Bait muslim (rumahtangga Islam) sebagai marhalah kedua merupakan aqabah yang sukar didaki dengan penuh jaya dan gemilang. Ketabahan , kesabaran dan kebijaksanaan antara prinsip untuk berjaya .
Rumahtangga pejuang Islam
Aktivis gerakan Islam (samaada pihak suami atau isteri) sewajarnya memandang serius urusan mengenderai rumahtangga muslim agar ia tidak menjadi sebab gugurnya seorang aktivis. Penegasan ini dibuat memandangkan keaktifan pejuang memungkinkan rumahtangga terabai, sedang rumahtangga muslim adalah markaz terbaik untuk pengkaderan generasi akan datang yang bernaung di bawah lembayung Al-Quran dan jihad.
Kedua dua pihak (pasangan suami isteri) mesti memahami penglibatan aktifnya dalam gerakan Islam tanpa ia sendiri turut memahami bahawa rumahtangga muslim adalah salah satu agenda gerakan Islam; mencetuskan ketegangan atau kehambaran dalam hidup berumahtangga.
Kebijaksanaan menyusun program menurut prioriti mampu menyelamatkan keadaan. Suatu nokhtah penting yang memerlukan sebuah keinsafan bersama, bahawa rumahtangga yang gagal dan hambar adalah antara jalan rentas menuju ke garis penamat bagi episod perjuangan seorang aktivis .
Tips cinta untuk suami
  • Bersikap baik dan lembut dengan isteri
  • Menjaga kehormatan rumahtangga dan tidak terburu menerima fitnah
  • Jangan sekali - kali memukul isteri dan penuhi keinginannya dengan baik
  • Bersabar terhadap karenah isteri
  • Mengendali nafkah dengan ( tidak bakhil dan boros )
  • Bergurau senda dengan anak dan isteri ( berkasih sayang dan mesra )
  • Membantu tugas - tugas isteri dirumah
  • Jujur dan menepati janji dengan anak dan isteri
  • Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga
  • Tidak bermesra dengan wanita lain
  • Menjaga rahsia isteri
  • Tidak merendah - rendahkan isteri di hadapan orang lain
  • Tidak makan hasil kerja isteri
Tips cinta untuk isteri
  • Berterima kasih diatas pemberian suami dan senantiasa mengenang jasanya walaupun kecil .
  • Segera memenuhi permintaan suami
  • Bertindak diatas keizinan suami , jangan sekali kali mengangkat suara
  • Pastikan suami tidak menemui sesuatu yang buruk pada isteri
  • Pastikan suami tidak mencium melainkan bau yang wangi
  • Jaga hartanya dengan sebaik - baik tadbir
  • Jaga maruahnya dengan sebaik - baik taqdir
  • Jangan mengingkari suami dan merahsiakan sesuatu daripadanya
  • Membantu urusan perjuangannya
  • Berkhidmat ikhlas dan aktif untuk ketenangan suami
  • Berlembut apabila dimarahi dan senyum apabila digembirakan
  • Mengekalkan sifat malu terhadap suami dan bijak menutur kata dihadapannya
  • Menghormati keluarga suami
  • Menjaga rahsia suami
Tips cinta untuk kedua suami isteri
  • Persefahaman
  • Taawun ( bekerjasama )
  • Wujudkan suasana romantis
  • Atasi bebanan kerja
  • Kepuasan seks
  • Elakkan sikap suka mengkritik pasangan
  • Saling percaya mempercayai diantara satu sama lain
  • Menghayati amal Islami
  • Kebijaksanaan mentadbir dan menyelesaikan masaalah rumahtangga