Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

16 June 2011

Suami Idaman Wanita


Isteri adalah untuk dikasihi dan disayangi dengan penuh kasih sayang. Isteri bukan tempat untuk si suami melepaskan amarah yang tiada berkesudahan . Isteri adalah makhluk tuhan yang perlu dibelai, dididik dan dihormati setiap masa.
Setiap hari ada sahaja kisah menyayat hati para isteri yang didera si suami didengari dan tertulis di akhbar. Ada antara mereka yang dilanda trauma yang teruk, didera, dipukul, disepak terajang dan banyak lagi. Sesetengah para suami yang menjadi kaki dera ini beranggapan si isteri layak 'diajar' sedemikian rupa agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Ada juga antara para suami yang menjadi kaki dera kerana telah berasa bosan dengan isterinya yang dianggap tidak menarik lagi dan sebagainya. Malah ada juga yang cuba mencari 'syurga' diluar dengan berlaku curang terhadap isterinya.
Apabila banyak kisah sebegini dipaparkan di dada akhbar dan majalah, semakin ramailah wanita takut untuk mendirikan rumah tangga dan berkahwin kerana mereka khuatir sekiranya hubungan mereka itu juga akan berakhir dengan kisah tragis didera suami atau dicurangi suami .
Persoalannya, adakah ini salah lelaki yang bergelar suami yang tidak tahu menghargai para isteri ataupun salah para isteri yang tidak pandai melayan hati suami?
Lebih baik kita usah menunding jari antara satu sama lain. Baik para suami mahupun para isteri masing- masing tidak patut dipersalahkan . Sekiranya para suami dan isteri sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai suami-isteri seperti yang telah digariskan didalam Al-Qur'an dan As-sunnah sudah tentu tidak akan timbul kes-kes penderaan isteri dan kes-kes curang terhadap pasangan masing-masing.
Banyak kisah-kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang dapat para suami jadikan contoh dalam melayari kehidupan berumah tangga agar rumahtangga sentiasa harmoni dan diredhai Allah s.w.t
 Kerana Sifat Al-Amin, Siti Khadijah terpikat
Rasulullah s.a.w telah digelar dengan gelaran Al-Amin oleh para penduduk Kota Mekah kerana beliau telah diberi amanah oleh para pemuda Quraisy ketika isu untuk meletakkan Hajar Al-Aswad timbul. Baginda telah diberikan amanah tersebut kerana seluruh Kota Mekah mengenali baginda dengan sikap baginda yang amanah dan boleh dipercayai.
Abu Lahab pernah cuba meminang Siti Khadijah melalui Abu Thalib. Namun, Abu Thalib telah menolaknya dan Abu Thalib berkata :
"Dalam pertemuanku itu, Khadijah mengatakan dia memerlukan seorang lelaki yang dapat dipercayai bagi menjalankan perniagaannya. Dia berpesan supaya mencarikannya seorang lelaki yang jujur dan dapat dipercayai. Ayah tidak nampak orang lain selain kamu, wahai Muhammad."
Agak-agaknya apakah ciri-ciri orang yang boleh dipercayai yang dimaksudkan Siti Khadijah r.a? Antaranya adalah mempunyai tutur kata yang baik, amanah, jujur serta tidak berbohong.
Wahai para suami dan lelaki diluar sana adakah sukar bagi anda semua untuk mempunyai ciri-ciri murni seperti yang diatas? Sekiranya sukar, muhasabahlah kembali diri anda mengapa ianya menjadi sukar sedangkan ia tidak mustahil untuk dipraktikkan. 
Keberanian dan ketulusan Saidina Ali r.a
Dua sahabat terkemuka iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah cuba meminang Fatimah, namun pinangan mereka ditolak dengan baik oleh Rasulullah.
Namun yang akhirnya bernikah dengan Saidatina Fatimah adalah Saidina Ali r.a.
Apakah yang menyebabkan Saidina Ali r.a dipilih oleh Rasulullah s.a.w sebagai menantu baginda? Jelas Rasulullah s.a.w memilih Saidina Ali r.a sebagai menantu baginda kerana sifat keberanian yang terselah dalam diri Saidina Ali r.a. Sejauh manakah keberanian Saidina Ali r.a yang telah menyebabkan beliau dipilih oleh baginda Nabi menjadi menantu baginda? Antara keberanian Saidina Ali r.a sebelum perkahwinan beliau dengan Siti Fatimah r.a lagi, Saidina Ali memang sentiasa berdamping dengan Rasulullah s.a.w. Akhirnya, beliau sendiri berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w dan menyatakan hasrat beliau untuk mengahwini Saidatina Fatimah r.a.
Berlainan dengan para lelaki zaman sekarang yang hanya berani dan rapat dengan keluarga bakal mertua ketika sebelum berkahwin dengan bakal isteri sahaja. Apabila sudah berkahwin, keluarga mertua sering dilupakan dan tidak diziarahi seperti sebelumnya. Malah ada para isteri yang tidak dibenarkan melawat keluarganya apabila sudah berkahwin.
 Keikhlasan cinta Abu Salamah
Abu Salamah merupakan saudara susuan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w. Beliau telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan sepupu Khalid al-Walid, yakni Hindun binti Abu Umayyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.
Ummu Salamah merupakan seorang wanita yang sangat cantik, mulia, terhormat dan bijaksana. Cintanya kepada Abu Salamah terlalu besar. Abu Salamah merupakan seorang pahlawan Islam yang berani dan terbilang, beliau sering tercedera ketika berjuang di medan peperangan. Setiap kali Abu Salamah tercedera, Ummu Salamah akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk merawat suaminya yang tercinta.
Namun, telah ditakdirkan jodoh mereka tidak berpanjangan. Abu Salamah pergi meninggalkan Ummu Salamah ketika luka lamanya semasa perperangan berdarah kembali. Saat-saat sebelum pemergian Abu Salamah, Ummu Salamah berkata :
"Kandaku sayang! Dinda mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga dan isterinya tidak menikah lagi, maka Allah mengumpul mereka kembali ke alam syurga. Maka berjanjilah wahai kekasihku, kanda tidak akan menikah lagi, seandainya dinda pergi dulu. Dinda juga akan berjanji akan tidak menikah lagi andai kanda pergi dulu.
Abu Salamah memang mencintai isterinya, dan mengharapkan wanita solehah, secantik dan sebijak isterinya dimiliki oleh seorang yang lebih baik darinya. Dalam tenat berbicara, Abu Salamah membuat keputusan yang terbaik buat isterinya.
"Mahukah dinda taat kepada kanda?' kata Abu Salamah.
"Sudah tentu wahai kekasihku," jawab Ummu Salamah.
"Berjanjilah, jika kanda pergi terlebih dahulu, maka menikahlah lagi," pinta Abu Salamah. Ummu Salamah terkedu, air matanya bercucuran hiba.
"Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik daripadaku yang tidak akan membuatnya sedih dan menyakitinya," doa Abu Salamah dalam kepayahan.
Abu Salamah berdoa untuk isterinya sebelum dia meninggal dunia, agar isterinya memperoleh kebaikan yang tak terhingga tatkala dia menutup mata.
Demikianlah keikhlasan cinta seorang suami kepada isterinya, memikirkan yang terbaik untuk isterinya, dan akhirnya, Ummu Salamah bernikah dengan Rasulullah s.a.w 
Romantis ala Rasulullah
Sebut perkataan romantis pasti ada antara kalian yang membayangkan romantis jiwang seperti yang selalu dipaparkan didalam drama atau filem-filem cinta. Namun romantik ala Rasulullah berbeza dengan gambaran romantis yang digambar kan didalam drama mahupun filem-filem cinta. Romantik adalah penghubung kemesraan dalam berumahtangga. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w keluar menyambut salam dari sahabatnya, dan sahabatnya melihat tangan baginda terdapat tepung. Rupa-rupanya ketika itu baginda sedang membantu isterinya menguli tepung didapur.
Rasulullah s.a.w juga cukup romantik ketika menegur isteri-isteri baginda. Pernah suatu ketika Saidatina Aisyah memasak sesuatu, dan menjemput baginda nabi merasainya. Saidatina Aisyah bertanya tentang masakannya. Lantas, Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuapkan makanan itu ke dalam mulut Aisyah. Tahulah Aisyah mengenai masakannya itu.
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata : "Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya".
"Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya." (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur).
******************************
Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah hidup bersuami isteri yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda untuk dijadikan contoh dan teladan buat para suami masa kini agar sentiasa berhemah dan berhikmah dalam menguruskan keluarga dan rumah tangga.
Kepada para suami dan para lelaki yang bakal menjadi suami, bangkitlah menjadi lelaki yang berkualiti bukan lelaki yang dibenci oleh wanita dan Allah s.w.t.
Sumber : Artikel Iluv Islam...

12 June 2011

Musibah : Jalan Menuju Kebahagiaan


Musibah seringkali ditakrifkan sebagai ujian, bencana, atau balasan daripada Allah SWT. Pelbagai bentuk musibah berlaku seperti kehilangan orang yang disayangi, kemusnahan harta benda, keruntuhan rumahtangga, kegagalan dalam perencanaan atau sebagainya. Impak daripada musibah ini boleh merubah situasi seseorang bergantung kepada tahap penerimaan mereka.
Sekiranya diterima secara positif, maka musibah dapat memberi kesan yang baik. Akan tetapi sekiranya individu yang ditimpa musibah mengambil peristiwa itu secara negatif maka ia boleh jadi membawa kehancuran yang merugikan. Oleh itu, kita seharusnya mendalami situasi musibah itu supaya ia dapat membawa kesejahteraan.
Apakah yang harus kita lakukan apabila ditimpa masalah atau musibah ? Apakah dengan merasa sedih, keluh kesah dan membinasakan diri sendiri dapat menyelesaikan sesuatu perkara. Jawapannya adalah dengan kembali kepada Allah.Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.Firman Allah SWT :
"Tiada sesuatu musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izinNya.. Dan barangsiapa yg beriman kepada Allah nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya..."( At-Taghabun:11).
Kita seharusnya redha dengan apa yang berlaku kerana ia merupakan qada dan qadar daripada Allah. Seharusnya seseorang yang beriman tidak boleh mengatakan Allah itu tidak adil semata-mata kerana musibah yang menimpa dirinya begitu pedih untuk ditanggung. Kita tidak berhak untuk memilih dugaan atau musibah itu sesuai dengan kehendak kita.
Ini kerana Allah Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu. Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yg bermaksud:.
"...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi(pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.".
Apabila Allah menimpakan musibah kepada kita, itu sebenarnya tanda Allah kasih kepada kita. Ia juga merupakan suatu ujian penilaian keimanan diri, sejauh mana kita benar-benar beriman atau keimanan kita begitu nipis sehingga hanya dengan sedikit dugaan, hati kita berubah.Cuba renungkan firman Allah ini:
"Dan, sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah:155).
Setiap manusia mempunyai titik tolak dalam kehidupannya. Maka apabila ditimpa musibah eloklah kita iktikadkan dalam hati, bahawa inilah titik permulaan dalam hidup kita. Barangkali musibah yang melanda merupakan suatu isyarat daripada Allah untuk kita bermuhasabah diri bagi membuat perubahan. Ringkasnya apa yang telah berlaku itu mempunyai hikmah yang harus di nilai. Kita harus memperbanyakkan beristighfar, membaca selalu innalillahhiwainnailaihirajiuun dan sebagainya.
Disamping itu, jadikan Alquran, sebagai teman. Berdoalah kepada Allah untuk memohon bantuan, dan diberikan keringanan dalam urusan. Firman Allah dalam surah Al-Mukmin ayat 60 yg bermaksud:
"Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu".
Bagi mengelakkan kita dari terus mengingati situasi sedih yang dihadapi maka kita hendaklah melakukan pelbagai aktiviti yang bermanfaat seperti melibatkan diri dengan aktiviti masyarakat, menghadiri ceramah, mengunjungi saudara mara dan sebagainya. Seterusnya kita hendaklahbertawakkal kepada Allah setiap masa dalam apa jua keadaan.Firman Allah dlm surah Al-Maidah ayat 23:
"...dan hanya kepada Allah lah hendaknya kamu bertawakkal jika kamu benar-benar beriman".
Jangan lupa mengadu kepada Allah sekiranya hidup seringkali ditimpa kegelisahan dan kesempitan. Maka ucaplah Hasbunallah Wanikmal Wakil yang bermaksud :, Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.".(Az-Zumar:10).
Sebagai kesimpulannya, tiada masalah tanpa penyelesaiannya. Kita harus mengkaji dan meneliti, sebagaimana setiap penyakit mempunyai penawarnya. Anggaplah musibah itu sebagai tiket untuk mendekati Allah dan sebagai jalan menuju bahagia. Ingatlah janji Allah di dalam surah Al-Insyirah bahawa sesudah kesulitan ada kemudahan.

11 June 2011

Satu Soalan Buat Hawa ??

Satu Soalan Buat Hawa.
Pandang kanan, awek shawl merah jambu ala-ala yuna. baju sendat. vogue.

Pusing kiri, awek shawl kelabu bak hana tajima. tengkuk terdedah. gorgeous....

...Tengok depan, awek legging rambut rebonding paras belikat. baju lengan pendek. stylo.

Toleh belakang, awek skinny dengan blouse labuh tutup punggung. tak bertudung. heels 4 inci. WOW.

***

Satu soalan buat hawa, memang itu ke yang korang nak? berfesyen tanpa meletakkan agama di depan? fesyen didahulukan, agama dikemudiankan?

Satu soalan buat hawa, selesa ke dengan penampilan sebegitu? menjadi perhatian kaum lelaki yang sememangnya mata keranjang? segenap tubuh diratah mata manusia?

Satu soalan buat hawa, apa tujuan korang berpakaian sedemikian? mahu tampak gah di kalangan teman-teman? sentiasa di atas? lepas tu apa? riak? takbur? bangga?

Satu soalan buat hawa, adakah dengan berbaju kurung bertudung litup korang akan dianggap kuno? adakah dengan fesyen lilit-lilit shawl akan jadikan seorang yang up-to-date? nahh~

Satu soalan buat hawa, adakah dengan berpakaian sopan akan menjejaskan kecantikan korang? akan menjadikan korang hodoh? nampak kecundang dalam dunia moden?

Satu soalan buat hawa, kalian berfesyen untuk kepuasan sendiri bukan? tapi pernahkah kalian sedar bahawa diri kalian takkan pernah puas?

Baca ni ;

Satu jawapan dari adam, seorang perempuan yang tertutup sempurna auratnya lebih bernilai di mata lelaki untuk dijadikan teman seumur hidup.

Satu jawapan dari adam, kecantikan seorang wanita yang menjaga auratnya dari dipandang lelaki yang bukan halal baginya adalah lebih mahal dari dunia dan segala isinya.

Satu jawapan dari adam, kecantikan si berbaju kurung yang bertudung takkan dapat ditandingi oleh yang lain. cantik, cun, ayu, dan sopan. apa lagi yang kalian nak?

Islam membenarkan fesyen tapi islam jugak melarang tabarruj. Allah tak suka mereka yang berlebih-lebihan. tahu? jadi bersederhanalah!~

"Sepantas mana pun kau lari untuk mengejar kepuasan dirimu, kau takkan pernah dapat mencapainya kerana kepuasanmu yang sebenar berada diantara kamu dengan penciptamu, ALLAH SWT

♥✿.¸¸.•´✿◕♥✿.¸¸.•´✿◕♥✿.¸¸.•´✿◕♥✿.¸¸.•´✿◕

Elakkan Pergaduhan Jadi Berpanjangan

Jangan Merajuk - Sejak masih kanak-kanak, orang perempuan pandai menggunakan strategi merajuk untuk mendapat apa yang mereka inginkan. Ramai juga isteri menggunakan strategi merajuk untuk menang dan memaksa suami mengalah. Merajuk tidak menyelesaikan masalah, malah ia boleh memburukkan lagi masalah sedia ada. Walaupun dengan cara merajuk, isteri boleh mendorong suami mengalah, strategi itu tidak membawa kedamaian yang kekal. Malah, perbuatan merajuk sangat membahayakan kerana ia akan menyusahkan usaha untuk berdamai semula. Semakin kuat dan semakin lama rajuk seseorang isteri, semakin susah apabila mereka hendak berdamai. Oleh itu, apabila si dia merajuk lagi, helah itu mungkin memakan diri sendiri kerana tidak ada lelaki yang suka dihukum isterinya sendiri.

Jangan Menghukum - Pergaduhan, pertengkaran dan konflik antara suami isteri meninggalkan kesan buruk kepada hati dan perasaan kedua-dua pihak. Masing-masing cenderung mahu menghukum satu sama lain kerana hendak memuaskan hati yang sakit atas kata-kata berbisa dan perbuatan salah pihak satu lagi. Lelaki dan wanita mempunyai cara sendiri apabila menghukum pasangan. Lelaki lazimnya cenderung 'menarik diri' dan tidak mahu lagi bercakap dengan isteri, melainkan terpaksa. Wanita pula cenderung untuk merajuk, menekan, menarik muka masam, menyindir, tidak mahu senyum dan tidak mahu melayan suami. Namun, hukuman tidak mungkin menyelesaikan sebarang masalah.

Jangan Berdusta - Jika pasangan menunjukkan sikap mahu berdamai dan anda sendiri mahu berdamai, jangan berdusta. Jangan pura-pura tarik harga atau jual mahal. Jangan pura-pura tidak sudi. Jangan pura-pura benci. Perbuatan seperti itu ada risikonya. Dia mungkin menyangka anda betul-betul tidak sudi dan tidak mahu berdamai. Akibatnya, dia terdorong untuk melupakan usaha berdamai.

Jangan Mencari Salah - Jika mahu berdamai, berhentikan tabiat suka mencari salah orang. Ia termasuk perbuatan berleter, menegur, mengkritik dan menasihati pihak satu lagi. Mencari salah tidak mungkin membawa penyelesaian. Kajian mendapati, wanita cenderung menuduh suami mereka bersalah apabila berlaku masalah dalam hubungan perkahwinan.

Hentikan Bahasa Negatif - Dua jenis bahasa negatif yang biasa digunakan apabila bergaduh ialah bahasa tuduhan dan bahasa celaan. Jika mahu berdamai, hentikan bahasa itu termasuk sindiran dan penghinaan. Untuk tujuan berdamai, tukar bahasa negatif kepada bahasa positif. Jenis bahasa positif yang sangat baik kesannya kepada hubungan cinta suami isteri ialah bahasa pengiktirafan, penghargaan, pujian dan sanjungan.

Berbicara Mengenai Hari Ini dan Esok - Setelah berdamai, jangan bercakap melainkan mengenai hari ini dan hari esok. Jangan pandang ke belakang melainkan untuk tidak mengulangi lagi kesilapan kita sendiri pada masa lalu. Jangan sekali-kali mengungkit perkara yang menyebabkan konflik.

Senyum Semula - Menurut pelbagai kajian, antara perkara yang banyak disebut lelaki mengenai bekas isteri mereka ialah isteri mereka tidak senyum. Jadi, senyumlah walaupun susah kerana senyuman ialah cara yang mujarab untuk berdamai semula.

Mulakan Berdamai - Selepas konflik yang berlaku itu berlarutan, kedua-duanya mungkin mahu berdamai, tetapi takut risiko untuk memulakannya. Jika benar inginkan perdamaian, ambil langkah untuk berdamai. Jangan tunggu sampai pihak satu lagi yang memulakannya.

10 June 2011

Hak-hak Isteri Dalam Perkahwinan Menurut Al-Quran dan Al-Sunnah ( Part 3)

2-  NAFKAH – ZAHIR DAN BATIN 
Nafkah menurut istilah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka 
yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya. Biaya yang dimaksudkan ialah 
semua hajat dan  keperluan pelajaran, makanan, ibadat, tempat tinggal dan 
sebagainya.(al-Syarbini.425). Hak nafkah yang  wajib diberikan kepada isteri boleh 
dibahagikan kepada dua jenis, nafkah zahir dan nafkah batin. 


NAFKAH ZAHIR 
Sudah menjadi ketetapan agama bahawa suami wajib memberikan belanja untuk 
makan, minum, pakaian dan tempat tinggal isteri sesuai  dengan kemampuannya. 
Firman Allah s.w.t: 
~Ertinya: "hendaklah  orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.  Dan  orang
yang disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah
kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah 
berikan kepadanya”.(al-Talaq:7)


~Ertinya :  “dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian  kepada para ibu dengan  cara  yang
makruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya”. (al-baqarah:233) 


~Ertinya:  “tempatkanlah  mereka  (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut
kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka dan menyempitkan hati mereka. Dan
jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil maka berikanlah kepada  mereka
nafkahnya hingga mereka bersalin” (al-talaq:6)

Sementara dalil-dalil dari sunnah pula:  
~Ertinya: dari Muawiyah al-Qusyairi,  berkata:  “saya  datang kepada  Rasulullah s.a.w lalu  sayabertanya, bagaimana pandanganmu Ya Rasulullah tentang isteri-isteri kami? Sabdanya: “berilah 
mereka makan dari makanan yang  kamu makan, berilah mereka pakaian  dari pakaian yang
kamu pakai, janganlah kamu pukul mereka dan jangan pula kamu buruk-burukkan mereka (H.R
Abu Dawud)


Ayat-ayat dan hadith di atas menjelaskan bahawa setiap suami bertanggungjawab
memberi  makanan, pakaian kepada isterinya sesuai dengan kemampuannya. Suami
tidak boleh memberi makanan dan pakaian kepada isterinya lebih buruk daripada apa 
yang dimakan dan dipakai suaminya. Begitu juga kadar makan dan pakai yang menjadi 
hak isteri diberikan mengikut kadar yang mampu diberikan oleh suaminya. Di dalam hal 
ini isteri tidak boleh meminta sesuatu yang di luar kemampuan suaminya. Akan tetapi 
sekiranya suami mampu memberikannya lebih tetapi tidak diberikan maka dalam situasi 
ini isteri dibenarkan mengambil harta suaminya seperti sabda Rasulullah s.a.w: 
~Ertinya:  “dari aisyah  r.a berkata: sesungguhnya  Hindun datang kepada rasulullah lalu 
berkata: “wahai Rasulullah< Abu Sufyan adalah orang yang kikir dan tidak mahu memberikan 
kepadaku belanja yang cukup untukku dan anakku, sehingga  terpaksa aku ambil dari 
hartanya tanpa pengetahuannya”. Lalu Baginda bersabda: “ambillah  sekadar cukup untuk
dirimu dan anakmu dengan wajar”. (H.R Bukhary dan Muslim) 
Hadith ini  menegaskan bahawa islam membenarkan bagi isteri mengambil harta
suaminya sekadar untuk keperluan dirinya dan anak-anak,  jika suaminya
mempunyai harta yang cukup tetapi  tidak memberikan haknya mengikut 
kemampuannya. Jika suami yang bakhil di cela oleh agama dan dibenarkan bagi 
isterinya mengambil tambahan dari harta suaminya tanpa pengetahuannya, maka 
lebih berdosalah lagi  suami yang tidak memberi nafkah isterinya. Sudah tentu 
perbuatan itu tela melanggari hak  isteri yang telah ditetapkan oleh syariat islam. 
Isteri boleh memberi peringatan terhadap suami yang mengabaikan tanggungjawab 
memberi nafkah samada mahu  memberi belanja atau menceraikannya. Menurut
Imam Syafie kadar nafkah makanan yang wajib itu adalah mengikut keadaan suami. 
Maka jika suami itu orang kaya, nafkah isteri yang diwajibkan ialah dua cupak 
makanan setiap hari, suami yang miskin satu cupak dan suami yang sederhana satu 
cupak setengah.(Wahbah Zuhayliy.1985.798) 
Menurut Imam an-Nawawi bahawa hak-hak yang wajib terhadap isteri itu tujuh perkara 
iaitu; 
i.    Makanan. 
ii.    Bahan-bahan seperti rempah-ratus (bawang, minyak masak, garam, gula, asam 
termasuk lauk-pauk dan sebagainya). 
iii.    Pembantu bagi isteri yang kebiasaannya mempunyai pembantu.  
iv.    Pakaian.  
v.    Alat-alat pembersih badan dan pencuci pakaian, sikat dan sebagainya.  
vi.    Perkakas-perkakas rumah seperti perkakas bilik air, perkakas tidor dan sebagainya 
dan yang terakhir ialah tempat tinggal (rumah). (an-Nawawi.450-461) 


NAFKAH BATIN 
Hendaklah mempergauli isteri itu dengan baik. Firman Allah: 
~Ertinya: isteri-isterimu adalah seperti tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah
tempat becucuk tanammu bagaimana saja kamu kehendaki.  Dan  kerjakanlah amal yang baik 
untuk dirimu dan bertaqwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa kamu kelak akan menemuiNya. Dan berilah khabar gembira orang-orang beriman. (al-Baqarah:223)


~Ertinya: ...”dan bergaullah dengan mereka dengan sebaik-baiknya....”


Dalam Islam isteri boleh menolak hajat atau keinginan suaminya untuk bersetubuh
dengan syarat ia mestilah dalam keadaan darurat atau keuzuran seperti semasa haid,
nifas, sedang dalam ihram dan  sebagainya. Bagaimanapun pengertian mengenai 
darurat dan keuzuran bukan setakat itu,  banyak lagi perkara lain yang perlu difahami
setiap suami. Misalnya jika isteri mengalami masalah kesihatan yang menyebabkan 
isteri tidak berupaya melayan kehendak seks suami, ia juga ditakrifkan sebagai darurat.
Begitu juga jika isteri berada dalam keletihan yang amat sangat, penolakan berkenaan dirujuk  kepada isteri yang dalam tertekan, runsing, mengantuk yang teramat sangat dan
keletihan yang amat sangat sehingga meyebabkan isteri berkenaan tidak berkeupayaan 
melayani kehendak seks suaminya dengan baik, ia juga  dibolehkan. Lebih-lebih lagi 
bagi isteri yang bekerja, tujuannya untuk membantu suaminya sendiri dalam  soal 
kewangan. 
Akan tetapi isteri perlu faham, jika mereka menolak hajat suaminya, ia mestilah ditolak 
dengan cara yang baik dan mestilah dijelaskan dengan sejelas dan sebaiknya sebabsebab itu kepada suaminya, sehingga suaminya boleh memahami  dan bertolak ansur
dengannya. 
Terdapat juga sesetengah suami yang sanggup menggunakan kekerasan atau paksaan 
ke atas isterinya untuk melakukan  hubungan  jenis demi memuaskan nafsunya sendiri 
dengan menafikan terus hak isteri , walaupun isteri berada dalam keadaan tidak 
bersedia dan sudah pun menolak hajatnya dengan baik. Dalam keadaan seperti ini, jika
suami tidak memahaminya, isteri boleh membawanya ke mahkamah  dan mahkamah 
pasti akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya. 
Namun begitu pangertian nafkah  batin bukanlah berkisar perlakuan  seksual  sematamata. Seks hanya salah satu cabang bagi maksud nafkah batin, selain seks berkongsi 
masalah, mendengar luahan isteri, berbual dan bermesra serta mendidik ajaran agama
terhadap isteri juga termasuk dalam definisi nafkah batin.

Hak-hak Isteri Dalam Perkahwinan Menurut Al-Quran dan Al-Sunnah ( Part 2 )

PENGERTIAN HAK
Hak dari sudut bahasa ialah benar, kebenaran, kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat 
sesuatu dan ianya ditentukan oleh  undang-undang, agama, adat istiadat dan lain-lain. 
(kamus dewan.2002.428)  
Menurut istilah hak ialah sesuatu yang dapat dipunyai atau dikuasai, baik yang berupa 
benda mahupun yang berupa wewenang dan kewajipan ialah sesuatu yang perlu 
diberikan, baik yang berupa benda mahupun  yang berupa perbuatan.(syafii.1995.273) 
Firman Allah s.w.t :
~Ertinya: “dan para wanita mempunyai hak  yang seimbang  dengan kewajipannya menurut  cara
yang ma’ruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan
Allah maha perkasa lagi maha bijaksana” (al-baqarah:228) 


Terdapat beberapa hak yang  wajib suami tunaikan ke atas isteri berdasarkan nas alQuran dan  hadith Nabi antaranya  hak mahar, hak nafkah, hak mendapat hubungan 
komunikasi  yang baik,  hak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar, hak terhadap harta 
sepencarian, dan beberapa hak asasi wanita yang akan disebut penulis di dalam kertas 
kerja ini antaranya hak wanita untuk bersuara, hak untuk bekerja dan hak terhadap
hartanya sendiri. 


HAK-HAK YANG WAJIB DIBERIKAN KEPADA ISTERI 


1-  HAK MENDAPAT MAHAR 


Mahar adalah suatu pemberian wajib dari suami kepada isterinya dengan sebab 
berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri. Banyak sedikitnya mahar itu bergantung
kepada kerelaan atau kemahuan isteri. Firman Allah:
~Ertinya:  “berikanlah maskahwin (mahar)  kepada wanita yang  kamu kahwini  sebagai pemberian
penuh kerelaan, kemudian jika mereka menyerahkan kepadamu sebahagian dari maskahwin itu 
dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu sebagai makanan yang sedap lagi
baik akibatnya” (an-Nisa’:4) 


Di dalam hadith Nabi s.a.w ini ada menerangkan beberapa benda yang boleh
dijadikan mahar, antaranya: 
i-  mata wang, 
ii-  Barang seperti cincin, kasut, pakaian dan  sebagainya 
iii- Pekerjaan seperti menghafal al-Quran, 
iv-  Makanan atau bahan 
v- Dengan memerdekakannya 


Mahar merupakan hak  mutlak isteri yang tidak boleh diambil oleh suami sesuka hati 
melainkan dengan keredhaan dan  keizinan isterinya. Seorang suami  boleh berhutang
mahar kepada isterinya dengan syarat ianya wajib dilunaskan kembali. Suami yang tidak 
mahu membayar mahar yang dihutang kepada isterinya diancam Allah dengan
ancaman yang sama  dengan orang-orang yang berhutang dengan niat tidak mahu 
melunasinya padahal  mereka mampu untuk  membayarnya kembali. Keadaan ini jelas 
merupakan penderhakaan terang-terangan terhadap hak isteri, sekaligus menderhakai 
Allah. Biasanya suami menganggap bahawa mahar itu tidak perlu lagi diberikan kepada
3isterinya kerana sudah menjadi satu keluarga  hingga menurut anggapannya tidak ada 
lagi perhitungan hutang piutang bagi mereka yang telah mempunyai ikatan sebagi suami
isteri. 


Dalam situasi ini  isteri boleh menasihati dan mengingatkan suami akan hutang 
maharnya serta ancaman Allah bagi perbuatannya, jika tidak diendahkan, isteri boleh
meminta pertolongan dari pihak  ke tiga untuk  menasihatinya, jika tidak berhasil isteri 
boleh mengadu kepada mahkamah untuk memaksa suami melunasi hutang maharnya.
Namun begitu memaafkan dan mengambil sikap berlapang dada adalah lebih dekat
kepada taqwa. Firman Allah: 
~Ertinya:  “jika kamu menceraikan isteri-isterimu  sebelum kamu bercampur dengan mereka
padahal kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah separuh dari mahar yang telah kamu
tentukan itu, kecuali  kalau isteri-isterimu  itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang
memegang ikatan nikah.  Sikap maaf itu lebih  adalah lebih dekat pada taqwa. Dan janganlah
melupakan keutamaan antara sesama kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu
kerjakan” (al-Baqarah:237)