PENGERTIAN HAK
Hak dari sudut bahasa ialah benar, kebenaran, kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat
sesuatu dan ianya ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat dan lain-lain.
(kamus dewan.2002.428)
Menurut istilah hak ialah sesuatu yang dapat dipunyai atau dikuasai, baik yang berupa
benda mahupun yang berupa wewenang dan kewajipan ialah sesuatu yang perlu
diberikan, baik yang berupa benda mahupun yang berupa perbuatan.(syafii.1995.273)
Firman Allah s.w.t :
~Ertinya: “dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara
yang ma’ruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan
Allah maha perkasa lagi maha bijaksana” (al-baqarah:228)
Terdapat beberapa hak yang wajib suami tunaikan ke atas isteri berdasarkan nas alQuran dan hadith Nabi antaranya hak mahar, hak nafkah, hak mendapat hubungan
komunikasi yang baik, hak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar, hak terhadap harta
sepencarian, dan beberapa hak asasi wanita yang akan disebut penulis di dalam kertas
kerja ini antaranya hak wanita untuk bersuara, hak untuk bekerja dan hak terhadap
hartanya sendiri.
HAK-HAK YANG WAJIB DIBERIKAN KEPADA ISTERI
1- HAK MENDAPAT MAHAR
Mahar adalah suatu pemberian wajib dari suami kepada isterinya dengan sebab
berkahwin. Ia merupakan hak mutlak isteri. Banyak sedikitnya mahar itu bergantung
kepada kerelaan atau kemahuan isteri. Firman Allah:
~Ertinya: “berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita yang kamu kahwini sebagai pemberian
penuh kerelaan, kemudian jika mereka menyerahkan kepadamu sebahagian dari maskahwin itu
dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu sebagai makanan yang sedap lagi
baik akibatnya” (an-Nisa’:4)
Di dalam hadith Nabi s.a.w ini ada menerangkan beberapa benda yang boleh
dijadikan mahar, antaranya:
i- mata wang,
ii- Barang seperti cincin, kasut, pakaian dan sebagainya
iii- Pekerjaan seperti menghafal al-Quran,
iv- Makanan atau bahan
v- Dengan memerdekakannya
Mahar merupakan hak mutlak isteri yang tidak boleh diambil oleh suami sesuka hati
melainkan dengan keredhaan dan keizinan isterinya. Seorang suami boleh berhutang
mahar kepada isterinya dengan syarat ianya wajib dilunaskan kembali. Suami yang tidak
mahu membayar mahar yang dihutang kepada isterinya diancam Allah dengan
ancaman yang sama dengan orang-orang yang berhutang dengan niat tidak mahu
melunasinya padahal mereka mampu untuk membayarnya kembali. Keadaan ini jelas
merupakan penderhakaan terang-terangan terhadap hak isteri, sekaligus menderhakai
Allah. Biasanya suami menganggap bahawa mahar itu tidak perlu lagi diberikan kepada
3isterinya kerana sudah menjadi satu keluarga hingga menurut anggapannya tidak ada
lagi perhitungan hutang piutang bagi mereka yang telah mempunyai ikatan sebagi suami
isteri.
Dalam situasi ini isteri boleh menasihati dan mengingatkan suami akan hutang
maharnya serta ancaman Allah bagi perbuatannya, jika tidak diendahkan, isteri boleh
meminta pertolongan dari pihak ke tiga untuk menasihatinya, jika tidak berhasil isteri
boleh mengadu kepada mahkamah untuk memaksa suami melunasi hutang maharnya.
Namun begitu memaafkan dan mengambil sikap berlapang dada adalah lebih dekat
kepada taqwa. Firman Allah:
~Ertinya: “jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka
padahal kamu telah menentukan maharnya, maka bayarlah separuh dari mahar yang telah kamu
tentukan itu, kecuali kalau isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang
memegang ikatan nikah. Sikap maaf itu lebih adalah lebih dekat pada taqwa. Dan janganlah
melupakan keutamaan antara sesama kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu
kerjakan” (al-Baqarah:237)


No comments:
Post a Comment