Abstrak
Perkahwinan merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul oleh
suami dan isteri. Tanggungjawab suami adalah lebih berat daripada tanggungjawab
isteri meskipun ramai yang menganggap isteri lebih banyak beban berbanding suami.
Namun begitu, hakikatnya di alam akhirat nanti suami mempunyai bebanan yang lebih
berat lagi untuk dilaksanakan, di mana suami akan dipertanggungjawabkan atas segala
yang berlaku ke atas isteri dan keluarganya. Justeru, kertas kerja ini akan
membincangkan tentang hak yang wajib suami tunaikan kepada isteri yang terdapat di
dalam al-Quran dan al-Sunnah, antaranya hak mahar, nafkah, komunikasi yang baik,
hak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dan sebagainya. Kertas kerja ini bertujuan
untuk memberi penjelasan mengenai hak wanita ke atas suami, lebih-lebih lagi pada era
ini terdapat ramai wanita yang masih keliru tentang hak-hak yang wajib diperolehi
daripada suaminya, contohnya hak mereka dalam bersuara, bekerja, hak terhadap harta
sendiri dan harta sepencarian antara mereka dan sebagainya.
PENDAHULUAN
Dalam setiap institusi rumahtangga, setiap pasangan suami isteri perlu menyedari
bahawa masing-masing mempunyai hak tersendiri. Dalam Islam setiap suami wajib
melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga wajib taat dan melayani suami
dengan sebaiknya. Islam adalah agama yang sempurna, setiap hukum dan peraturan
yang terdapat bukan hanya memihak kepada lelaki, tetapi juga kepada isteri dan
kesemua pihak. Islam telah menetapkan para suami bertanggungjawab dalam
memimpin rumahtangganya dan memenuhi hak-hak isterinya dan memerintahkan
supaya mereka berlaku baik terhadap isteri mereka sesuai dengan apa yang diajar oleh
Rasulullah s.a.w . Oleh itu, apabila hak-hak isteri tidak ditunaikan dengan baik oleh
suami sedangkan ia menyedari dan mampu melaksanakan hak-hak tersebut, maka dia
telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya, juga menderhakai isterinya. Umumnya,
masyarakat kita hari ini jarang menghayati perkara ini mengikut tuntutan syariat bahkan
lebih cenderung untuk mengikuti tradisi yang berlaku dalam masyarakat. Tatacara
kehidupan di dalam rumahtangga diperolehi daripada amalan tradisi masyarakat atau
pengalaman yang diperolehi daripada keluarga tanpa berpedoman pada ketentuan Allah
dan Rasul-Nya, sedangkan apa yang ditimba dari masyarakat dan keluarga
kemungkinan besar jauh dari ketentuan Allah dan Rasul-Nya, sehingga sering para
suami melakukan pelanggaran terhadap hak-hak isteri dan menganggapnya suatu yang
lumrah berlaku di dalam masyarakat. Dalam kedudukan sebagai seorang isteri, banyak
amalan masyarakat dan pengalaman keluarga yang merugikan hak-hak isteri sehingga
1mereka tidak mampu untuk membela diri kerana budaya dalam masyarakat
menempatkan isteri pada kedudukan yang lemah. Justeru, untuk memberikan hak
kepada isteri dan menempatkan mereka sebagai hamba Allah yang sama dengan lelaki
dalam melaksanakan kewajipan yang telah disyariatkan, Islam telah menggariskan hakhak isteri yang wajib dipatuhi oleh suami. Di dalam situasi ini para isteri hendaklah celik
agama dengan mengetahui dan memahami hak-hak mereka agar dapat mengesan
perlakuan suami yang dikategorikan sebagai pelanggaran hak-hak isteri dan sekaligus
juga dapat membela diri sama ada di hadapan suami atau di mahkamah syariah.


No comments:
Post a Comment